SEJARAH SEKOLAH
SMK Dato’ Penggawa Barat atau singkatannya SMKDPB merupakan satu nama yang tidak asing di negeri Johor, khususnya di daerah Pontian. Sekolah ini terkenal dengan kecemerlangannya di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.
Sejarah sekolah ini bermula pada tahun 1959, iaitu ketika bermulanya pelaksanaan pelajaran Menengah Kebangsaan. Pada ketika itu, pelajar-pelajarnya ditumpangkan belanjar di Government English School, Pontian. Pada tahun 1965, pelajar-pelajarnya dipindahkan ke sekolah yang ada sekarang iaitu bangunan sekolah yang asalnya dirancangkan untuk sekolah lanjutan kampung.
Nama sekolah ini adalah sempena nama gelaran Orang Besar Johor yang pada masa dahulu pernah memerintah kawasan Barat Daya Johor termasuk Pontian. Jawatan Dato’ Penggawa Barat disandang oleh Dato’ Abdul Samad Ibrahim dalam zaman pemerintahan Sultan Abu Bakar. SMKDPB pernah menempa sejarah sebagai sekolah menengah kebangsaan yang pertama mengadakan sistem sewaan buku teks kepada pelajar-pelajarnya dan merupakan antara beberapa buah sekolah sahaja yang pernah mengadakan kemudahan serupa.
Dalam tahun 1970, mata pelajaran sains tulen mula diperkenalkan di sekolah ini. Pada peringkat permulaan, beberapa orang guru siswazah dari Indonesia telah ditempatkan di sekolah ini khusus untuk mengajarkan mata pelajaran Sains Tulen dan Ilmu Hisab.
Pada tahun 1978, tercipta satu lagi sejarah sekolah iaitu Tingkatan Enam Aliran Sastera dimulakan. Seramai 43 orang pelajar peintis memulakan pelajaran dalam dua belas buah kelas. Pada tahun berikutnya, Tingkatan Enam Aliran Sains dimulakan. Tahun 1989 mencipta satu sejarah apabila Majlis Pelancaran Sekolah Contoh KBSM telah diadakan di sekolah ini.
Setiap tahun, SMKDPB berusaha sedaya upaya untuk mecipta nama dalam pelbagai bidang sehingga ke peringkat kebangsaan. Antara kejayaan yang dilakar adalah Johan Pertandingan 3K, Sekolah Harapan Negara, Johan antara Johan Pertandingan 3K, Sekolah Bestari, dan Johan Pertandingan Kuiz PNB.
Terbaru, SMKDPB sekali lagi mengukir sejarahnya yang tersendiri apabila berjaya meletakkan sekolah ini pada kelasnya yang tersendiri. Pada 22 April 2011, SMKDPB telah diiktiraf sebagai SEKOLAH KLUSTER KECEMERLANGAN yang diumumkan sendiri oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia di Putrajaya.
LAGU SEKOLAH
Kami warga cemerlang
Sekolah Dato' Penggawa Barat
Usaha Jaya Bakti cogankata kami
Semoga Tuhan memberkati
Falsafah pendidikan kebangsaan
Teras pejuangan kami semua
Insan mulia rohani jasmani
Kamilah putra putri bestari
Sekolah Dato' Penggawa Barat
Kami julang namamu
Sekolah Dato' Penggawa Barat
Kami bangga denganmu
Gunung sama kami daki
Lurah pula sama kami turuni
Bersatu hati berpadu tekad
Muafakat membawa berkat
Ayah bonda dan guru
Kami mohon doa restumu
Moga kami tabah hebat dan ceria
Cemerlang menuju puncak jaya
Sekolah Dato' Penggawa Barat
Kami julang namamu
Sekolah Dato' Penggawa Barat
Kami bangga denganmu
Kami bangga denganmu
Melodi : Encik Osman bin Hj Md Ali Rawa
Lirik : Tn Hj Hashim bin Mohd Dom
En Mahiyar bin Kasmoin
Bentuk Perisai
Mempertahankan segala halangan yang dihadapi dalam menuntut ilmu
Renda di kiri dan kanan perisai
Harapan untuk melahirkan anak didik yang berjaya dalam semua bidang
Obor
Semangat yang menyala untuk terus berjaya dalam kurikulum dan kokurikulum
Warna biru
Warna rasmi sekolah yang melambangkan perpaduan bangsa dan ilmu (dunia dan akhirat)
Dua garisan yang menyokong obor
Kemuncak cita-cita untuk menjadi insan yang sempurna
Warna Merah
Perjuangan yang berterusan sehingga menemui titik kejayaan
Usaha Jaya Bakti
Moto sekolah yang bermaksud berusaha menuntut ilmu
pengetahuan sehingga berjaya untuk menabur bakti kepada
bangsa, agama dan negara.
Jan 1965
Tarikh sekolah mula menggunakan bangunan sekolah sendiri
setelah ditubuhkan pada tahun 1965
Pontian
Daerah sekolah ini didirikan
SMK. Dato’ Penggawa Barat
Nama sekolah yang bersepadanan dengan gelaran Orang Besar
yang memerintah jajahan barat daya negeri Johor . Jawatan
Dato’ Penggawa Barat pada masa itu disandang oleh Dato’ Abdul
Samad bin Ibrahim.